Friday, April 6, 2012

Minggu Panitia Sains

Oleh: Jamiah Tamat


Pada minggu kesebelas sesi persekolahan 2012, Panitia Sains Sosial dan Alam Sekitar telah menjalankan Minggu Panitia Sains yang disertai oleh murid-murid Pendidikan Khas. Program ini bermula pada 4 hingga 6 April 2012. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan melibatkan kerjasama, disiplin, kreativiti dan kekemasan hasil kerja murid. Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan utama dan dibimbing oleh guru-guru Pendidikan Khas.


Aktiviti pertama yang dijalankan adalah menghasilkan layang-layang dari lidi dan juga kertas surat khabar. Objektif utama aktiviti ini adalah supaya murid dapat mengecam keadaan cuaca semasa di samping memberi peluang kepada murid memahami konsep permainan layang-layang iaitu ia dimainkan ketika panas dan berangin.

Seterusnya adalah aktiviti mengenal benda hidup dan benda bukan hidup. Bagi aktiviti ini, murid perlu melukis atau menampal gambar benda hidup dan benda bukan hidup mengikut kreativiti masing-masing. Di sini murid dapat mempamerkan keupayaan murid dalam mengecam benda-benda di sekeliling mereka.


Keupayaan murid terus diuji dengan aktiviti mencipta telefon ringkas dari tin dan juga tali tangsi. Murid perlu menghasilkan telefon ringkas yang boleh berfungsi melalui getaran objek. Objektif utama aktiviti ini adalah mengenalpasti keupayaan murid menggunakan deria dengar, deria lihat, deria bau dan deria rasa. Setiap kumpulan perlu dibahagi kepada 2 kumpulan kecil. Telefon ringkas ini adalah sebagai penghubung bagi setiap soalan dan jawapan yang diajukan.



Seterusnya adalah aktiviti kolaj iaitu menggunting dan menampal bentuk pelbagai warna bagi menghasilkan objek bergambar yang berkaitan dengan dunia sains. Di sini, murid dapat  mengecam kepelbagaian jenis warna dan bentuk serta mencetuskan idea bagi menghasilkan gambar yang bersesuaian dengan tema aktiviti.



No comments:

Post a Comment