Thursday, February 23, 2012

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas.

Pada 13 Februari yang lalu telah diadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan bagi Pengawas-pengawas, Pembimbing Rakan Sebaya serta ketua dan penolong ketua kelas Sekolah Kebangsaan Batu Unjur. Majlis ini merupakan simbolik penyerahan tanggungjawab kepada pelajar-pelajar yang terpilih sebagai pemimpin pelajar. Seramai 58 orang murid telah dilantik sebagai Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas SPBT dan Pembimbing Rakan Sebaya, 9 daripadanya merupakan pengawas Pendidikan Khas, manakala 24 orang murid merupakan ketua dan penolong ketua kelas. Majlis penyampaian watikah ini telah disempurnakan oleh Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, En. Hafizi Affendi bin Mohd Zain.

Majlis yang berlangsung di Dataran Seri Nilam ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Damanhuri. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada tuan guru besar En. Hud Bin Abd. Ghani. YDP PIBG En. Hafizi Affendi bin Mohd Zain telah meyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas 2012. Sejurus majlis perasmian, En. Hafizi Efendy telah meyampaikan watikah kepada pengawas serta ketua dan penolong ketua kelas. Bagi melengkapkan majlis pelantikan ini, bacaan ikrar telah dijalankan dan diketuai oleh adik Imran bin Azman. Majlis diteruskan dengan ceramah Motivasi oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang.

Disediakan oleh Basri Mohamed

Friday, February 10, 2012

PMD 2012

Program Maju Diri 2012(PPKI SK Batu Unjur)

Program Maju Diri (PMD) PPKI Sekolah Kebangsaan Batu Unjur  telah berlangsung dengan jayanya pada 1 hingga 3 Februari yang lalu. Program yang dianjurkan oleh unit Hal Ehwal Murid ini bertujuan mendedahkan murid kepada persekitaran sekolah di samping membentuk kecintaan dan tanggungjawab murid terhadap sekolah, guru dan rakan. Program yang dijalankan selama tiga hari ini merupakan aktiviti tahunan yang telah dijalankan sejak tahun 2011.
Program dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan taklimat program oleh ketua Unit HEM PPKI Pn. Neelaambigai A/P Devaisundram. Murid  dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh beberapa orang guru. Pada hari pertama program dimulakan dengan senamrobik. Slot ini dikendalikan oleh Pn. Norharmimi Binti Ibrahim. Dalam slot yang pertama ini semua murid dan guru berkumpul di dataran untuk melakukan aktiviti senamrobik.  Aktiviti ini telah berjalan dengan lancar.
Seterusnya, Program Maju Diri ini  diteruskan dengan slot Ice-breaking di mana murid dan guru telah dibahagikan kepada 4 kumpulan.  Bagi aktiviti ini, setiap kumpulan diminta menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Setiap kumpulan diberikan masa selama sejam untuk menyiapkan tugasan.  Aktiviti ini berakhir dengan terciptanya kumpulan The Sun, Harimau Malaya, Phoenix dan Ombak Rindu.
Selepas berehat selama setengah jam, slot Sekolah Penyayang dilaksanakan.  Di mana setiap kumpulan ditugaskan untuk melawat pejabat sekolah, bilik guru, bilik pendidikan seni dan juga pusat sumber sekolah. Semasa di  pusat sumber, setiap kumpulan diminta untuk  memilih  satu buku cerita untuk dibaca dan mendapatkan 10 nilai murni di dalam buku tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid membaca dan memahami bahan yang dibaca serta menerapkan nilai murni yang hasil dari bahan bacaan tersebut.
Slot terakhir bagi hari yang pertama iaitu pembentangan hasil kerja dan tugasan yang diberikan kepada setiap kumpulan.  Slot ini dikendalikan oleh Cik Jamiah Tamat sebagai pengacara majlis.  Setiap kumpulan diminta membentangkan hasil kerja untuk Ice-breaking iaitu menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Melalui kreativiti setiap kumpulan, 4 logo yang menarik telah dicipta. Kemeriahan turut dirasai sewaktu setiap kumpulan membuat sorak kumpulan masing-masing.
Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan bersama oleh Pn Norharmimi dan rakan-rakan. Slot seterusnya dijalankan satu jam selepas senamrobik di mana Pn. Aminah binti Sabtu Guru Bimbingan SK Batu Unjur telah diundang untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta program. Di Dalam ceramahnya , murid diingatkan agar menjaga kebersihan serta menyayangi diri dan guru-guru. Peserta menunjukkan respon yang sangat baik. Di dalam ceramahnya juga, beliau turut memberikan soalan kuiz dan memberi hadiah kepada peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul.
Murid bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberi.
Selepas rehat aktiviti diteruskan dengan LDK 3 yang bertajuk minda kreatif. Di dalam slot ini peserta ditugaskan menghasilkan inovasi daripada bahan terbuang yang disediakan. Peserta telah bekerjasama dalam menghasilkan tugasan yang diberi. Slot terakhir pada hari kedua ini ialah peserta diminta membentangkan hasil kerja daripada LDK 3.
Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh En. Saiful Azam dan rakan-rakan. Aktiviti seterusnya adalah gotong royang. Peserta telah dibahagi kepada beberapa kumpulan mengikut tahap keupayaan mereka. Kumpulan pertama ditugaskan  mengecat tandas, kumpulan kedua mengecat lantai di dataran PPKI. Manakala selebihnya di tempatkan di kebun Kemahiran Hidup.
Tuan guru besar menyampaikan ucapan kepada murid
Majlis perasmian penutup program telah dijalankan sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong. Tuan guru besar En. Hud bin Abd. Ghani telah dijemput menyempurnakan majlis penutup PMD 2012. Di dalam ucapannya beliau mengingatkan murid supaya menjadi murid yang baik dan pandai. Untuk mencapai maksud tersebut murid mestilah selalu datang ke sekolah dan belajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya memenangi setiap kategori yang dipertandingkan.

Wednesday, February 1, 2012

Kebun KH PPKI.

PROJEK KEMAHIRAN HIDUP
 
Tahun 2012 ini telah melakar kejayaan baru bagi Program Pendidikan Khas Integrasi, SK Batu Unjur dimana Panitia Kemahiran Hidup yang diketuai oleh En. Azri bin Bahari telah berjaya membuka kebun bagi aktiviti Kemahiran Hidup Perkebunan. Beliau dengan dibantu oleh Pn. Wirawati Ong Abdullah, Pn Norharmimi binti Ibrahim serta murid Pendidikan Khas bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan projek ini. Dengan pengalaman yang ada pada beliau sewaktu di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional banyak membantu merealisasikan impian selama ini. Projek perkebunan ini telah bermula sejak 2009 namun disebabkan beberapa masalah dan kekangan kewangan, projek ini tidak dapat berjalan dengan lancar. Berasaskan kejayaan program Rintis Hijau pada tahun 2011 telah mendorong beliau dan guru-guru Pendidikan Khas SK Batu Unjur untuk mewujudkan tapak kebun dan taman dalam kawasan Pendidikan Khas. 





Dengan kewujudan tapak perkebunan ini diharapkan ianya dapat memberi pendedahan kepada murid-murid. Pengajaran dan Pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih realistik di mana murid bersama-sama menghasilkan tapak semaian, menajak, menanam, menjaga, mengutip hasil tanaman serta memasarkannya. Antara tanaman yang terdapat dikebun PPKI ini ialah serai, rozel, kunyit lengkuas, pokok markisa, pokok bunga dan lain-lain. Melalui projek ini juga diharapkan dapat memupuk minat dan kecintaan murid-murid terhadap alam sekitar. 


Kerja membersih dan membungkus hasil tanaman.




Baru-baru ini projek ini telah membuat tuaian pertama pokok serai. Murid didedahkan dengan cara menuai hasil, membersih, cara pembungkusan dan pemasaran. Sambutan sangat menggalakkan daripada guru-guru serta ibubapa. Hasil daripada jualan telah disalurkan kepada tabung projek bagi usaha menaik taraf kebun dan taman PPKI. Bagi pihak Panitia Kemahiran Hidup kami mengharapkan sokongan berterusan deripada semua pihak dalam menjayakan projek ini. sokongan anda adalah dorongan kepada kami bagi membantu murid- murid berkeperluan khas agar mereka juga dapat menikmati kehidupan seperti insan lain.