Friday, February 10, 2012

PMD 2012

Program Maju Diri 2012(PPKI SK Batu Unjur)

Program Maju Diri (PMD) PPKI Sekolah Kebangsaan Batu Unjur  telah berlangsung dengan jayanya pada 1 hingga 3 Februari yang lalu. Program yang dianjurkan oleh unit Hal Ehwal Murid ini bertujuan mendedahkan murid kepada persekitaran sekolah di samping membentuk kecintaan dan tanggungjawab murid terhadap sekolah, guru dan rakan. Program yang dijalankan selama tiga hari ini merupakan aktiviti tahunan yang telah dijalankan sejak tahun 2011.
Program dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan taklimat program oleh ketua Unit HEM PPKI Pn. Neelaambigai A/P Devaisundram. Murid  dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh beberapa orang guru. Pada hari pertama program dimulakan dengan senamrobik. Slot ini dikendalikan oleh Pn. Norharmimi Binti Ibrahim. Dalam slot yang pertama ini semua murid dan guru berkumpul di dataran untuk melakukan aktiviti senamrobik.  Aktiviti ini telah berjalan dengan lancar.
Seterusnya, Program Maju Diri ini  diteruskan dengan slot Ice-breaking di mana murid dan guru telah dibahagikan kepada 4 kumpulan.  Bagi aktiviti ini, setiap kumpulan diminta menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Setiap kumpulan diberikan masa selama sejam untuk menyiapkan tugasan.  Aktiviti ini berakhir dengan terciptanya kumpulan The Sun, Harimau Malaya, Phoenix dan Ombak Rindu.
Selepas berehat selama setengah jam, slot Sekolah Penyayang dilaksanakan.  Di mana setiap kumpulan ditugaskan untuk melawat pejabat sekolah, bilik guru, bilik pendidikan seni dan juga pusat sumber sekolah. Semasa di  pusat sumber, setiap kumpulan diminta untuk  memilih  satu buku cerita untuk dibaca dan mendapatkan 10 nilai murni di dalam buku tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid membaca dan memahami bahan yang dibaca serta menerapkan nilai murni yang hasil dari bahan bacaan tersebut.
Slot terakhir bagi hari yang pertama iaitu pembentangan hasil kerja dan tugasan yang diberikan kepada setiap kumpulan.  Slot ini dikendalikan oleh Cik Jamiah Tamat sebagai pengacara majlis.  Setiap kumpulan diminta membentangkan hasil kerja untuk Ice-breaking iaitu menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Melalui kreativiti setiap kumpulan, 4 logo yang menarik telah dicipta. Kemeriahan turut dirasai sewaktu setiap kumpulan membuat sorak kumpulan masing-masing.
Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan bersama oleh Pn Norharmimi dan rakan-rakan. Slot seterusnya dijalankan satu jam selepas senamrobik di mana Pn. Aminah binti Sabtu Guru Bimbingan SK Batu Unjur telah diundang untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta program. Di Dalam ceramahnya , murid diingatkan agar menjaga kebersihan serta menyayangi diri dan guru-guru. Peserta menunjukkan respon yang sangat baik. Di dalam ceramahnya juga, beliau turut memberikan soalan kuiz dan memberi hadiah kepada peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul.
Murid bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberi.
Selepas rehat aktiviti diteruskan dengan LDK 3 yang bertajuk minda kreatif. Di dalam slot ini peserta ditugaskan menghasilkan inovasi daripada bahan terbuang yang disediakan. Peserta telah bekerjasama dalam menghasilkan tugasan yang diberi. Slot terakhir pada hari kedua ini ialah peserta diminta membentangkan hasil kerja daripada LDK 3.
Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh En. Saiful Azam dan rakan-rakan. Aktiviti seterusnya adalah gotong royang. Peserta telah dibahagi kepada beberapa kumpulan mengikut tahap keupayaan mereka. Kumpulan pertama ditugaskan  mengecat tandas, kumpulan kedua mengecat lantai di dataran PPKI. Manakala selebihnya di tempatkan di kebun Kemahiran Hidup.
Tuan guru besar menyampaikan ucapan kepada murid
Majlis perasmian penutup program telah dijalankan sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong. Tuan guru besar En. Hud bin Abd. Ghani telah dijemput menyempurnakan majlis penutup PMD 2012. Di dalam ucapannya beliau mengingatkan murid supaya menjadi murid yang baik dan pandai. Untuk mencapai maksud tersebut murid mestilah selalu datang ke sekolah dan belajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya memenangi setiap kategori yang dipertandingkan.

1 comment:

  1. tahniah my friends.....teruskan usaha murni guru-guru tersayang...ikhlaskan hati mendidik anak2 syurga ini..tahniah...sy berbangga kerana pernah menjadi sebahagian dr anda semua...tahniah....semoga usaha ini akan diberkati dan di rahmati selalu...

    pn. farizan abdullah
    prasekolah integrasi skbu 2009-jun 2011

    ReplyDelete