Monday, August 13, 2012

Pelancaran Bulan Kemerdekaan PPKI SKBU 2012


Oleh: Masitah Zakaria


Program Pendidikan Khas Integrasi SKBU telah mengadakan Sambutan Pelancaran Bulan Kemerdekaan yang diadakan di dataran PPKI yang berlangsung pada 3 Ogos yang lalu. Sambutan ini disertai oleh murid-murid pendidikan khas, pembantu pengurusan murid dan semua guru PPKI.Sambutan ini diadakan bertujuan untuk menerap nilai-nilai semangat patriotik di dalam jiwa murid-murid dan menanam sikap cintakan negara Malaysia.

Majlis ini berlangsung pada pukul 8.00 pagi dan dimulai dengan ucapan alu-aluan yang dipengerusikan oleh En. Mohd Ruzaiman bin Abdullah Halim.Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tuan guru besar iaitu En. Hud bin Abdul Ghani. Beliau memberi pesanan kepada murid-murid agar menyayangi negara Malaysia dan bersyukur kerana hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Seterusnya, beliau mendoakan kesejahteraan murid-murid pendidikan khas dan merasmikan majlis pelancaran kemerdekaan. Suasana bulan kemerdekaan lebih meriah lagi  dengan nyanyian 5 buah lagu dimulai lagu Negaraku, 1 Malaysia, Jalur Gemilang, Malaysia Berjaya, Tanggal 31 dan 1 Malaysia.

Semua guru, PPM dan murid menyanyikan lagu dengan penuh bersemangat dan berjiwa patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Lagu yang dinyanyikan bertujuan untuk mewujudkan rasa bangga dalam diri murid-murid menjadi rakyat Malaysia dan mengetahui bahawa Malaysia sudah mencapai kemerdekaan yang 55 pada tahun ini. Setelah nyanyian lagu patriotik dinyanyikan, maka berakhirlah majlis perasmian bulan kemerdekaan. Aktiviti yang terakhir ialah senamrobik yang dibimbing oleh Pn. Rofida bt Abu Bakar, Pn. Nora bt Nordin dan Pn. Norazilah binti Abdull Latif. Aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan selain mengeratkan silaturahim antara murid- murid pendidikan khas dan juga guru. Sambutan bulan kemerdekaan ini tamat pada pukul 8.30 pagi dan semua guru bersurai masuk ke kelas masing-masing.

No comments:

Post a Comment