Program Lawatan Sambil Belajar ke Negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau
Oleh: Rohaslida Omar
Pada 28 dan 29 Mac 2012 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi SK Batu Unjur telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau. Lawatan ini disertai oleh 26 orang murid, 15 orang guru pengiring dan 2 orang ibubapa. Program ini telah dikelolakan oleh Cik Suraiya binti Aziz dan dibantu oleh En Saiful Azam Khoo bin Abdullah.
Oleh: Rohaslida Omar
Pada 28 dan 29 Mac 2012 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi SK Batu Unjur telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau. Lawatan ini disertai oleh 26 orang murid, 15 orang guru pengiring dan 2 orang ibubapa. Program ini telah dikelolakan oleh Cik Suraiya binti Aziz dan dibantu oleh En Saiful Azam Khoo bin Abdullah.
Program lawatan ini adalah bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman murid di samping mendedahkan mereka kepada persekitaran luar. Mereka juga perlu dilatih agar dapat berdikari, berdisiplin, bekerjasama dan yakin kepada diri sendiri semasa aktiviti ini dijalankan.
Pada hari pertama, murid-murid berpeluang melihat berbagai jenis binatang di Zoo Melaka yang terletak di Ayer Keroh. Di sana juga mereka dapat melihat pertunjukan gajah yang dikendalikan oleh pekerja zoo yang berpengalaman. Penerokaan murid di Planetarium Melaka membuka minda murid-murid mengenai alam cakerawala dan dunia sains yang belum pernah mereka lihat sebelum ini. Mereka juga telah disajikan dengan tayangan video berkenaan cakerawala.
Selepas itu, kami bertolak ke tempat penginapan di Hotel Mesra Mutiara, di Bandar Hilir. Pada malam harinya, kami berpeluang menyusuri sungai Melaka dan menikmati permandangan Bandar Melaka sambil menaiki ‘River Cruise’.
Pada hari kedua, murid-murid dapat melihat dan menghayati peninggalan sejarah bangsa Belanda dan Portugis yang pernah menjajah negeri Melaka. Antaranya termasuklah Bangunan Stadhuys, St Paul dan Kota A Famosa. Selepas itu, kami melawat Muzium Kastam dan Muzium Samudera yang terletak bersebelahan Kota A Famosa. Di sini murid-murid dapat melihat peninggalan penjajah dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, mereka juga dapat mengetahui sejarah Jabatan di Negeri Melaka. Destinasi terakhir yang dilawati iaitu Menara Taming Sari telah memberi peluang kepada murid-murid untuk menikmati keindahan panorama negeri Melaka secara keseluruhannya. Sebelum kami bertolak pulang, murid-murid berpeluang membeli belah di Baazar.
Penyertaan murid secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti sekolah atau di luar bilik darjah merupakan intipati dalam dunia pendidikan khas yang perlu didedahkan kepada semua murid yang berkeperluan khas. Sehubungan dengan itu, Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau dirangka bagi memastikan objektif yang disarankan tercapai. Ianya merupakan titik tolak bagi melahirkan murid yang berupaya berdikari, mampu merancang dan seterusnya menguruskan kehidupan seharian di masa akan datang.
No comments:
Post a Comment