Saturday, June 30, 2012

Tahniah.....

Tahniah diucapkan kepada Kumpulan nasyid PPKI SK Batu Unjur yang memenangi tempat ketiga pada pertandingan nasyid sempena Majlis Tilawah Al Quran (MTQ) Peringkat Daerah Klang 2012. Pertandingan berlangsung pada 21 Jun yang lalu bertempat di SMK Meru. 

Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pada kali ini, namun peserta telah   memberikan saingan dan persembahan bersungguh-sunguh. Kumpulan ini dibimbing oleh Pn. Hasmini Mokhtar dan Pn. Salmee Suhana Md Yusof. Ahli kumpulan terdiri daripada Muhammad Hafizi Alias, Muhammad Iznol Sallas, Muhammad Syahmi Abid, Muhammad Zarif Ikhwan, Luqman Hakeem, Muhammad Shahzwan, Sufian Poon dan Muhammad Arsyad.

Selain itu PPKI SKBU turut menghantar beberapa orang peserta bagi pertandingan Azan Subuh, Tilawah Al Quran, Hafazan, dan bercerita  Kisah dari Al Quran. 

Tahniah juga diucapkan kepada En Hafsham Rohmat kerana dilantik sebagai ketua hakim bagi pertandingan Khat Jawi. Beliau satu satunya hakim daripada opsyen Pendidikan Khas. Beliau pernah memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Khat Jawi Negeri Melaka anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Umrah


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pengalaman menunaikan Umrah merupakan pengalaman serta detik-detik yang paling indah dan bermakna dalam diri kita. Perjalanan dalam mengerjakan ibadah Umrah untuk mencari keredhaan Ilahi sering diakhiri dengan azam yang mahu kembali semula ke Tanah Suci.

Perjalanan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa selama 9 jam tidaklah berasa begitu lama. Sama seperti insan yang  lain, perasaan saya bercampur baur untuk pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci selain diselubungi rasa takut, gemuruh dan berdebar-debar. Mungkin perasaan itu hadir disebabkan terlalu banyak membaca dan mendengar kisah-kisah benar individu yang pantas menerima dugaan dan mendapat balasan Allah atas kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan. 

Daripada Lapangan Terbang Jeddah, saya terus ke Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah. Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjidil Haram, terasa sebak dan tak pernah terfikir akan mampu pergi ke sana untuk menjadi tetamu Allah. Alhamdulilah. Umrah juga dipanggil 'Haji Kecil' yang bererti  mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadah yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, saie dan bertahallul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. 

Niat Ihram hanya boleh dilakukan di Miqat sahaja. Selain berihram, jemaah perlu mengerjakan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Selasai tawaf, saya terus ke belakang Makam Ibrahim yang dikatakan tempat mustajab untuk berdoa. Selesai menunaikan tawaf, diikuti pula dengan saie sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah  kemudian diakhiri dengan bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai bagi menandakan bebas daripada Ihram. Ibadah Umrah yang khusyuk banyak mendekatkan diri kita kepada Pencipta yang mencipta seluruh alam semesta. 

Sembilan hari di Makkah tidak terasa lamanya. Kemudian, saya meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Perjalanan dari Kota Makkah ke Kota Madinah mengambil masa selama 8 jam dengan menaiki bas. Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Madinah mendekatkan diri kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang amat dikasihi dan dicintai. Kota Madinah begitu aman, damai dan tenteram. Tempat mustajab berdoa di Madinah adalah Raudhah. Raudhah letaknya di antara rumah Rasulullah SAW sehingga mimbar. Raudhah juga ditandai dengan hamparan karpet berwarna hijau. Kawasan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan bagi jemaah lelaki dan jemaah wanita. Melawat Raudhah dan memberi salam serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW menginsafkan kita umat baginda yang begitu kerdil sekali.

Apa yang menarik di Makkah dan Madinah adalah apabila tibanya waktu solat, penduduk tempatan akan segera menutup kedainya dan bergegas ke masjid untuk mengerjakan solat secara berjemaah. Semoga kita semua diberi rezeki dan peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah dan Haji. Semoga mendapat Umrah dan Haji yang mabrur. InsyaAllah.


Sunday, June 24, 2012

BILIK GURU PPKI

Ribuan terima kasih diucapkan kepada tuan guru besar kerana telah sudi memberikan bilik guru baharu kepada guru-guru PPKI SK Batu Unjur. Seiring dengan kepesatan pembangunan di sekitar Bandar Bukit Tinggi, PPKI SKBU turut mengalami peningkatan bilangan pelajar dan guru. Kesan peningkatan ini menyebabkan bilik guru sedia ada tidak mampu lagi menampung jumlah guru PPKI yang semakin meningkat. Justeru bilik yang lebih besar dan selesa diperlukan bagi menempatkan guru-guru PPKI. 

Oleh yang demikian, Di atas keperihatinan Guru Besar SK Batu Unjur bilik Matematik yang selama ini terbiar telah dihadiahkan kepada PPKI Untuk dijadikan bilik guru. Bilik yang lebih besar dan selesa ini mampu menampung seramai 32 orang guru. 



Manakala bilik guru lama akan dijadikan stesen bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup/Urus Diri dan bilik bagi Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Usaha menaik taraf bilik Kemahiran Hidup ini sedang dijalankan. Antara usaha tersebut ialah membuat sinki dan meja dapur yang mana kerja-kerja ini telah dibuat secara sukarela oleh guru PPKI sendiri. Diharapkan dengan adanya bilik-bilik ini ianya dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran guru dan murid PPKI SKBU. Pihak pentadbir sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru PPKI.

Hari Guru PPKI

Jamuan guru-guru PPKI SK Batu Unjur telah diadakan pada 13 Jun 2012. Jamuan makan tengahari ini diadakan bersempena sambutan hari guru 2012 peringkat Pendidikan Khas SK Batu Unjur. Jamuan ini diadakan di Waroeng Ayam Penyet, Harbour Place. Guru Besar En. Hud bin Abdul Ghani telah bersama-sama menjayakan majlis tersebut. Majlis ini diadakan agak terlewat dari tarikh sambutan hari guru peringkat kebangsaan iaitu 16 Mei 2012 berikutan pada tarikh tersebut Murid-murid PPKI telah dikecualikan menghadiri sekolah. Jadi bagi meraikan sambutan peringkat PPKI 13 Jun telah dipilih. Walaupun tarikh tersebut agak lewat, namun ianya tidak menjejaskan kemeriahan sambutan. 




Sebelumnya, beberapa acara telah dijalankan bagi sambutan tersebut, antaranya ialah nyanyian lagu Guru Malaysia, persembahan guru, persembahan murid dan acara bertukar hadiah sesama guru.