Saturday, June 30, 2012

Umrah


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pengalaman menunaikan Umrah merupakan pengalaman serta detik-detik yang paling indah dan bermakna dalam diri kita. Perjalanan dalam mengerjakan ibadah Umrah untuk mencari keredhaan Ilahi sering diakhiri dengan azam yang mahu kembali semula ke Tanah Suci.

Perjalanan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa selama 9 jam tidaklah berasa begitu lama. Sama seperti insan yang  lain, perasaan saya bercampur baur untuk pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci selain diselubungi rasa takut, gemuruh dan berdebar-debar. Mungkin perasaan itu hadir disebabkan terlalu banyak membaca dan mendengar kisah-kisah benar individu yang pantas menerima dugaan dan mendapat balasan Allah atas kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan. 

Daripada Lapangan Terbang Jeddah, saya terus ke Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah. Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjidil Haram, terasa sebak dan tak pernah terfikir akan mampu pergi ke sana untuk menjadi tetamu Allah. Alhamdulilah. Umrah juga dipanggil 'Haji Kecil' yang bererti  mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadah yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, saie dan bertahallul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. 

Niat Ihram hanya boleh dilakukan di Miqat sahaja. Selain berihram, jemaah perlu mengerjakan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Selasai tawaf, saya terus ke belakang Makam Ibrahim yang dikatakan tempat mustajab untuk berdoa. Selesai menunaikan tawaf, diikuti pula dengan saie sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah  kemudian diakhiri dengan bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai bagi menandakan bebas daripada Ihram. Ibadah Umrah yang khusyuk banyak mendekatkan diri kita kepada Pencipta yang mencipta seluruh alam semesta. 

Sembilan hari di Makkah tidak terasa lamanya. Kemudian, saya meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Perjalanan dari Kota Makkah ke Kota Madinah mengambil masa selama 8 jam dengan menaiki bas. Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Madinah mendekatkan diri kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang amat dikasihi dan dicintai. Kota Madinah begitu aman, damai dan tenteram. Tempat mustajab berdoa di Madinah adalah Raudhah. Raudhah letaknya di antara rumah Rasulullah SAW sehingga mimbar. Raudhah juga ditandai dengan hamparan karpet berwarna hijau. Kawasan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan bagi jemaah lelaki dan jemaah wanita. Melawat Raudhah dan memberi salam serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW menginsafkan kita umat baginda yang begitu kerdil sekali.

Apa yang menarik di Makkah dan Madinah adalah apabila tibanya waktu solat, penduduk tempatan akan segera menutup kedainya dan bergegas ke masjid untuk mengerjakan solat secara berjemaah. Semoga kita semua diberi rezeki dan peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah dan Haji. Semoga mendapat Umrah dan Haji yang mabrur. InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment