Monday, April 16, 2012

PETANQUE

PPKI SK Batu Unjur sedang menjalani latihan petanque bagi menghadapi Kejohanan Petanque Pendidikan Khas, Daerah Klang. Seramai 4 orang murid telah terpilih bagi mewakili SK Batu Unjur bagi kejohanan tersebut. Team Petanque ini telah dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Cik Rohaslida Omar dan Pn. Masitah Zakaria. 
Kejohanan Petanque Pendidikan Khas akan diadakan pada 24 April 2012, bertempat di SMK Sungai Kapar Indah. Kejohanan satu hari ini akan menghimpunkan jaguh-jaguh petanque dari sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Klang yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi. Semoga Team Petanque SKBU mecapai kejayaan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.



Friday, April 6, 2012

Minggu Panitia Sains

Oleh: Jamiah Tamat


Pada minggu kesebelas sesi persekolahan 2012, Panitia Sains Sosial dan Alam Sekitar telah menjalankan Minggu Panitia Sains yang disertai oleh murid-murid Pendidikan Khas. Program ini bermula pada 4 hingga 6 April 2012. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan melibatkan kerjasama, disiplin, kreativiti dan kekemasan hasil kerja murid. Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan utama dan dibimbing oleh guru-guru Pendidikan Khas.


Aktiviti pertama yang dijalankan adalah menghasilkan layang-layang dari lidi dan juga kertas surat khabar. Objektif utama aktiviti ini adalah supaya murid dapat mengecam keadaan cuaca semasa di samping memberi peluang kepada murid memahami konsep permainan layang-layang iaitu ia dimainkan ketika panas dan berangin.

Seterusnya adalah aktiviti mengenal benda hidup dan benda bukan hidup. Bagi aktiviti ini, murid perlu melukis atau menampal gambar benda hidup dan benda bukan hidup mengikut kreativiti masing-masing. Di sini murid dapat mempamerkan keupayaan murid dalam mengecam benda-benda di sekeliling mereka.


Keupayaan murid terus diuji dengan aktiviti mencipta telefon ringkas dari tin dan juga tali tangsi. Murid perlu menghasilkan telefon ringkas yang boleh berfungsi melalui getaran objek. Objektif utama aktiviti ini adalah mengenalpasti keupayaan murid menggunakan deria dengar, deria lihat, deria bau dan deria rasa. Setiap kumpulan perlu dibahagi kepada 2 kumpulan kecil. Telefon ringkas ini adalah sebagai penghubung bagi setiap soalan dan jawapan yang diajukan.



Seterusnya adalah aktiviti kolaj iaitu menggunting dan menampal bentuk pelbagai warna bagi menghasilkan objek bergambar yang berkaitan dengan dunia sains. Di sini, murid dapat  mengecam kepelbagaian jenis warna dan bentuk serta mencetuskan idea bagi menghasilkan gambar yang bersesuaian dengan tema aktiviti.



Lawatan ke Melaka

Program Lawatan Sambil Belajar ke Negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau

Oleh: Rohaslida Omar
 

Pada 28 dan 29 Mac 2012 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi SK Batu Unjur  telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau. Lawatan ini disertai oleh 26 orang murid, 15 orang guru pengiring dan 2 orang ibubapa. Program ini telah dikelolakan oleh Cik Suraiya binti Aziz dan dibantu oleh En Saiful Azam Khoo bin Abdullah.
Program lawatan ini adalah bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman murid di samping mendedahkan mereka kepada persekitaran luar. Mereka juga perlu dilatih agar dapat berdikari, berdisiplin, bekerjasama dan yakin kepada diri sendiri semasa aktiviti ini dijalankan.  
Pada hari pertama, murid-murid berpeluang melihat berbagai jenis binatang di Zoo Melaka yang terletak di Ayer Keroh. Di sana juga mereka dapat melihat pertunjukan gajah yang dikendalikan oleh pekerja zoo yang berpengalaman. Penerokaan murid di Planetarium Melaka membuka minda murid-murid mengenai alam cakerawala dan dunia sains yang belum pernah mereka lihat sebelum ini. Mereka juga telah disajikan dengan tayangan video berkenaan cakerawala.
Selepas itu, kami bertolak ke tempat penginapan di Hotel Mesra Mutiara, di Bandar Hilir. Pada malam harinya, kami berpeluang menyusuri sungai Melaka dan menikmati permandangan Bandar Melaka sambil menaiki ‘River Cruise’.
Pada hari kedua, murid-murid dapat melihat dan menghayati peninggalan sejarah bangsa Belanda dan Portugis yang pernah menjajah negeri Melaka. Antaranya termasuklah Bangunan Stadhuys, St Paul dan Kota A Famosa. Selepas itu, kami melawat Muzium Kastam dan Muzium Samudera yang terletak bersebelahan Kota A Famosa. Di sini murid-murid dapat melihat peninggalan penjajah dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, mereka juga dapat mengetahui sejarah Jabatan di Negeri Melaka. Destinasi terakhir yang dilawati iaitu Menara Taming Sari telah memberi peluang kepada murid-murid untuk menikmati keindahan panorama negeri Melaka secara keseluruhannya. Sebelum kami bertolak pulang, murid-murid berpeluang membeli belah di Baazar.
Penyertaan murid secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti sekolah atau di luar bilik darjah merupakan intipati dalam dunia pendidikan khas yang perlu didedahkan kepada semua murid yang berkeperluan khas. Sehubungan dengan itu, Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau  dirangka bagi memastikan objektif yang disarankan tercapai. Ianya merupakan titik tolak bagi melahirkan murid yang berupaya berdikari, mampu merancang dan seterusnya menguruskan kehidupan seharian di masa akan datang.