Showing posts with label Kokurikulum. Show all posts
Showing posts with label Kokurikulum. Show all posts

Monday, November 5, 2012

Tautan Kasih




Oleh: Hafsham Rohmat
Tahun ini merupakan tahun keempat PPKI SK Batu Unjur menganjurkan Program Tautan kasih. Program yang berkonsepkan hari Keluarga dan Sukaneka ini merupakan aktiviti tahunan yang telah dijalankan semenjak tahun 2007. Program ini dijalankan dengan konsep yang lebih terbuka dan melibatkan semua murid Pendidikan Khas tanpa mengira masalah. Ia juga turut melibatkan ibubapa, guru serta kakitangan SKBU. Program ini dilihat mampu menjalinkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang di antara murid guru dan ibubapa. Program ini juga dapat mencabar kebolehan murid Pendidikan Khas sekaligus dapat mencungkil bakat murid dalam bidang sukan. Ia merupakan lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Di samping itu, Program Tautan Kasih ini dapat memberi peluang kepada murid-murid Pendidikan Khas untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di bilik darjah. Seterusnya, dapat membimbing murid-murid berkeperluan khas berdikari. Sehubungan itu, Program Tautan Kasih PPKI SK Batu Unjur, Klang yang direncanakan ini, akan dapat mengaspirasikan semangat murid berkeperluan khas untuk lebih maju dalam bidang sukan.
Tautan Kasih pada tahun ini telah diadakan pada 20 Oktober 2012 bertempat di Dataran SK Batu Unjur. Program dirasmikan oleh Tuan guru besar En Hud Bin Abd. Ghani. Ianya turut dihadiri oleh wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG)SK Batu Unjur Klang iaitu En. Alias dan Pn Azizah binti Abdul Ghani. Tautan Kasih saban tahun mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid dan ibubapa. Sokongan ibubapa dapat dilihat menerusi jumlah kehadiran mereka yang luar biasa. Mereka hadir dengan membawa ahli keluarga masing masing bagi meraikan program tersebut. Pelbagai acara telah jalankan pada program kali ini. Acara-acara melibatkan semua murid PPKI tanpa mengira kecacatan mereka. Turut diadakan ialah acara yang melibatkan keluarga iaitu antara ibubapa dan anak serta ibubapa, anak dan guru.

Acara pada pada pagi tersebut dimulakan dengan perhimpunan di mana semua murid bersama-sama menyanyikan lagu negaraku dan melaungkan ikrar murid. Pn. Arba’ayah binti Jailani telah dijemput menyampaikan sepatah dua kata berkaitan program. Manakala guru besar En Hud Bin Abd Ghani telah menyempurnakan perasmian program. Para tetamu telah dihiburkan dengan persembahan tarian oleh beberapa orang murid. Persembahan murid tersebut di bawah Bimbingan Pn Hasmini Mokhtar Dan Puan Salmee Suhana Md Yusof. Sebaik selesai persembahan murid ibubapa dan guru dijemput bersama-sama di dalam senamrobik. Senamrobik telah dikendalikan oleh Pn. Norazilah Abd Latiff, Pn Nora Nordin dan En Saiful Azam Khoo. Menurut En. Hafsham bin Rohmat (penyelaras program), Tautan Kasih kali mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak termasuk syarikat swasta yang memberi sumbangan bagi menjayakan program ini. Program seumpama ini wajar diteruskan bagi memberi ruang dan peluang kepada murid berkeperluan khas menonjolkan kebolehan  mereka.
Pada Tautan Kasih kali ini PPKI telah menganugerahkan tokoh kokurikulum lelaki kepada Adik Muhammad Hafizi bin Alias dan tokoh Kokurikulum Perempuan Kepada Adik Izzah Atirah binti Sazali. Anugerah ini bertujuan menghargai sumbangan murid tersebut di dalam aktiviti kokurikulum peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Demi mengembangkan bakat dan potensi murid dalam bidang kokurikulum, “Program Tautan Kasih” yang bercorak sukaneka ria ini diharap dapat mencungkil bakat dan menyerlahkan potensi mereka dalam bidang kokurikulum selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) serta mewujudkan hubungan kerjasama yang erat di kalangan  guru, murid pendidikan khas, ibu bapa dan penjaga.



Wednesday, July 4, 2012

Perkhemahan Motivasi Pendidikan Khas Integrasi 2012

Oleh: Jamiah Tamat

Perkhemahan motivasi pendidikan khas telah dijalankan pada 27 & 28 Jun lalu di Taman Botani Negara Shah Alam.  Penyertaan murid seramai 29 orang dan dan dipantau oleh 28 orang guru dan 8 orang pembantu pengurusan murid sebagai fasilitator. Program perkhemahan tahunan anjuran Unit Kokurikulum PPKI SK batu Unjur ini merupakan kali kelima sejak ianya diadakan pada tahun 2008. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang perkhemahan ini dilaksanakan.

Pada hari pertama murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan diberi tugasan untuk mencipta logo dan menamakan kumpulan.  Seterusnya murid membuat pembentangan hasil tugasan mereka.  Pada waktu petang, fasilitator dan peserta berada dalam kumpulan bagi membincangkan persembahan untuk Malam Seribu Bintang.  Setelah makan tengah hari, peserta didedahkan dengan Terapi Alam yang mana setiap kumpulan bersama-sama fasilitator melalui trek laluan jalan tar di sekitar Taman Botanik Negara Shah Alam sambil menikmati panorama alam.  Di sini, peserta ditugaskan untuk mencatat tumbuhan dan haiwan yang dilihat di sepanjang perjalanan tersebut. 

Keupayaan fizikal dan mental peserta semakin tercabar apabila di waktu senja hujan turun dengan lebat berserta kilat.  Namun atas kerjasama urusetia, fasilitator dan juga keyakinan para peserta, segala masalah yang timbul semasa hujan dapat diatasi dengan baik.  Selepas solat Isyak, hujan semakin reda dan peserta dihidangkan dengan makan malam barbeque yang sungguh lazat. 

Selepas makan malam, para peserta, fasilator dan urusetia menyertai Malam Seribu Bintang.  Di sini bakat peserta dapat dicungkil dan mereka sangat terbuka dalam membuat persembahan.  Fasilitator dan urusetia juga turut membuat persembahan mengikut kreativiti masing-masing.  Malam Seribu Bintang berakhir pada jam 11.30 malam, semua peserta dan fasilitator berehat untuk aktiviti pada keesokan harinya.

Setiap kali program perkhemahan motivasi seperti ini dijalankan program keagamaan tidak dilupakan. Setiap peserta diwajibkan solat berjemaah sepanjang perkhemahan berlangsung. Ia bertujuan mendidik murid berkeperluan khas ini memahami tanggung jawab mereka sebagai insan. Dalam tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Hafsham murid diingatkan agar mentaati Allah dan Rasul serta menjadi anak yang baik dengan mendengar nasihat ibubapa.

 Seawal jam 7 pagi selepas solat Subuh, semua guru dan murid berkumpul untuk aktiviti senamrobik.  Selepas bersarapan, aktiviti selanjutnya dilaksanakan iaitu Jalinan Kasih dan Mix & Match.  Setiap murid dan guru perlu bekerjasama bagi memastikan kumpulan masing-masing berjaya.  Dapat dilihat fasilitator dan peserta dapat berinteraksi dengan baik dan menjalin kemesraan yang kukuh.

Pada jam 11 pagi semua peserta dan fasilitator berkumpul untuk acara Majlis Perasmian Penutupan Perkhemaham Motivasi dan juga penyampaian hadiah.  Majlis penutupan perasmian ini dilaksanakan oleh En. Amer Hafizi bin Abdul Halim selaku Naib Yang Dipertua PIBG SK Batu Unjur. Dalam ucapannya beliau memuji ketabahan dan semangat murid-murid pendidikan khas dalam menjayakan perkhemahan ini. Turut serta pada majlis penutupan ini ialah Pn. Arba,ayah binti Jailani Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas. dan Pn. Azizah binti Abdul Ghani selaku AJK PIBG SK Batu Unjur bagi memeriahkan majlis tersebut.Bagi perkhemahan kali ini peserta terbaik lelaki telah diberi kepada adik Muhammad Syahmi Abid bin Azri, manakala peserta terbaik perempuan pula dianugerahkan kepada adik Izzah Athirah bt Sazali. Pemilihan peserta terbaik dinilai melalui aspek tanggungjawab dan kepimpinan.

Perkhemahan Motivasi ini adalah sebagai salah satu daripada “benchmark” PPKI SK Batu Unjur yang mana ia adalah acara tahunan yang dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid pendidikan khas.  Melalui perkhemahan ini, murid dapat belajar melalui pengalaman mereka di luar bilik darjah, memupuk semangat kerjasama, menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan meningkatkan keyakinan diri.

Kredit layak diberikan kepada setiausaha kokurikulum PPKI SKBU Cik Jamiah Tamat, Encik Azri Bahari yang banyak berusaha mendapatkan penaja-penaja program kali Ini, serta seluruh jawatankuasa yang bersama-sama menggembeling tenaga mejayakan program ini. Tidak lupa juga kepada para penaja antaranya SM Vokasional Pendidikan Khas, Shah Alam yang telah menyumbang pengangkutan untuk membawa murid ke Taman Botani Negara. Les Copaque, Roti Gardenia, PIBG SK Batu Unjur, A'dlu Services, Right Brain Advertising dan lain-lain. Diharapkan dengan kerjasama yang erat ini akan dapat melonjakkan PPKI SKBU ke mercu gemilang.