Sunday, July 15, 2012

Terima kasih MPJBT


PPKI SK Batu Unjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah kerana sudi menyumbang pokok-pokok bunga untuk menceriakan Laman PPKI SKBU. MPJBT merupakan johan keseluruhan pertandingan lanskap Sempena Floria 2012 di Putrajaya. Pokok yang dusumbangkan merupakan pokok yang digunakan untuk menghias lanskap Floria 2012. 
PPKI SK Batu Unjur menerusi En. Azri Bahari telah menyerahkan surat dan sijil penghargaan kepada wakil MPJBT En. Azman Juher. Sumbangan ini sangat bermakna kepada kami yang sedang giat  memperkasakan PPKI SKBU.

1 MURID 1 SUKAN



Program senamrobik 1 Murid 1 Sukan telah dijalankan serentak di semua sekolah seluruh negara pada 10 julai yang lalu. Sekolah kebangsaan Batu Unjur tidak terkecuali terlibat dalam program ini. Program ini  melibatkan semua murid termasuk Prasekolah dan Pendidikan Khas. Program bermula pada pukul 8.00 pagi dengan nyanyian lagu negaraku, doa dan ucapan perasmian oleh tuan guru besar SK Batu Unjur, En Hud bin Abdul Ghani.

      Senamrobik 1Murid 1Sukan (1M1S) yang merupakan salah satu aktiviti dalam Bulan Kecergasan dijalankan serentak di semua sekolah seluruh negara. Aktiviti tersebut yang bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan murid sekolah turut dilaksanakan untuk merekodkan catatan Malaysia Book of Records dalam kategori "Largest Simultaneous Participation of School Students in an Aerobic Session".

Wednesday, July 4, 2012

Perkhemahan Motivasi Pendidikan Khas Integrasi 2012

Oleh: Jamiah Tamat

Perkhemahan motivasi pendidikan khas telah dijalankan pada 27 & 28 Jun lalu di Taman Botani Negara Shah Alam.  Penyertaan murid seramai 29 orang dan dan dipantau oleh 28 orang guru dan 8 orang pembantu pengurusan murid sebagai fasilitator. Program perkhemahan tahunan anjuran Unit Kokurikulum PPKI SK batu Unjur ini merupakan kali kelima sejak ianya diadakan pada tahun 2008. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang perkhemahan ini dilaksanakan.

Pada hari pertama murid dibahagikan kepada 4 kumpulan dan diberi tugasan untuk mencipta logo dan menamakan kumpulan.  Seterusnya murid membuat pembentangan hasil tugasan mereka.  Pada waktu petang, fasilitator dan peserta berada dalam kumpulan bagi membincangkan persembahan untuk Malam Seribu Bintang.  Setelah makan tengah hari, peserta didedahkan dengan Terapi Alam yang mana setiap kumpulan bersama-sama fasilitator melalui trek laluan jalan tar di sekitar Taman Botanik Negara Shah Alam sambil menikmati panorama alam.  Di sini, peserta ditugaskan untuk mencatat tumbuhan dan haiwan yang dilihat di sepanjang perjalanan tersebut. 

Keupayaan fizikal dan mental peserta semakin tercabar apabila di waktu senja hujan turun dengan lebat berserta kilat.  Namun atas kerjasama urusetia, fasilitator dan juga keyakinan para peserta, segala masalah yang timbul semasa hujan dapat diatasi dengan baik.  Selepas solat Isyak, hujan semakin reda dan peserta dihidangkan dengan makan malam barbeque yang sungguh lazat. 

Selepas makan malam, para peserta, fasilator dan urusetia menyertai Malam Seribu Bintang.  Di sini bakat peserta dapat dicungkil dan mereka sangat terbuka dalam membuat persembahan.  Fasilitator dan urusetia juga turut membuat persembahan mengikut kreativiti masing-masing.  Malam Seribu Bintang berakhir pada jam 11.30 malam, semua peserta dan fasilitator berehat untuk aktiviti pada keesokan harinya.

Setiap kali program perkhemahan motivasi seperti ini dijalankan program keagamaan tidak dilupakan. Setiap peserta diwajibkan solat berjemaah sepanjang perkhemahan berlangsung. Ia bertujuan mendidik murid berkeperluan khas ini memahami tanggung jawab mereka sebagai insan. Dalam tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Hafsham murid diingatkan agar mentaati Allah dan Rasul serta menjadi anak yang baik dengan mendengar nasihat ibubapa.

 Seawal jam 7 pagi selepas solat Subuh, semua guru dan murid berkumpul untuk aktiviti senamrobik.  Selepas bersarapan, aktiviti selanjutnya dilaksanakan iaitu Jalinan Kasih dan Mix & Match.  Setiap murid dan guru perlu bekerjasama bagi memastikan kumpulan masing-masing berjaya.  Dapat dilihat fasilitator dan peserta dapat berinteraksi dengan baik dan menjalin kemesraan yang kukuh.

Pada jam 11 pagi semua peserta dan fasilitator berkumpul untuk acara Majlis Perasmian Penutupan Perkhemaham Motivasi dan juga penyampaian hadiah.  Majlis penutupan perasmian ini dilaksanakan oleh En. Amer Hafizi bin Abdul Halim selaku Naib Yang Dipertua PIBG SK Batu Unjur. Dalam ucapannya beliau memuji ketabahan dan semangat murid-murid pendidikan khas dalam menjayakan perkhemahan ini. Turut serta pada majlis penutupan ini ialah Pn. Arba,ayah binti Jailani Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas. dan Pn. Azizah binti Abdul Ghani selaku AJK PIBG SK Batu Unjur bagi memeriahkan majlis tersebut.Bagi perkhemahan kali ini peserta terbaik lelaki telah diberi kepada adik Muhammad Syahmi Abid bin Azri, manakala peserta terbaik perempuan pula dianugerahkan kepada adik Izzah Athirah bt Sazali. Pemilihan peserta terbaik dinilai melalui aspek tanggungjawab dan kepimpinan.

Perkhemahan Motivasi ini adalah sebagai salah satu daripada “benchmark” PPKI SK Batu Unjur yang mana ia adalah acara tahunan yang dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid pendidikan khas.  Melalui perkhemahan ini, murid dapat belajar melalui pengalaman mereka di luar bilik darjah, memupuk semangat kerjasama, menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan meningkatkan keyakinan diri.

Kredit layak diberikan kepada setiausaha kokurikulum PPKI SKBU Cik Jamiah Tamat, Encik Azri Bahari yang banyak berusaha mendapatkan penaja-penaja program kali Ini, serta seluruh jawatankuasa yang bersama-sama menggembeling tenaga mejayakan program ini. Tidak lupa juga kepada para penaja antaranya SM Vokasional Pendidikan Khas, Shah Alam yang telah menyumbang pengangkutan untuk membawa murid ke Taman Botani Negara. Les Copaque, Roti Gardenia, PIBG SK Batu Unjur, A'dlu Services, Right Brain Advertising dan lain-lain. Diharapkan dengan kerjasama yang erat ini akan dapat melonjakkan PPKI SKBU ke mercu gemilang.

Saturday, June 30, 2012

Tahniah.....

Tahniah diucapkan kepada Kumpulan nasyid PPKI SK Batu Unjur yang memenangi tempat ketiga pada pertandingan nasyid sempena Majlis Tilawah Al Quran (MTQ) Peringkat Daerah Klang 2012. Pertandingan berlangsung pada 21 Jun yang lalu bertempat di SMK Meru. 

Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pada kali ini, namun peserta telah   memberikan saingan dan persembahan bersungguh-sunguh. Kumpulan ini dibimbing oleh Pn. Hasmini Mokhtar dan Pn. Salmee Suhana Md Yusof. Ahli kumpulan terdiri daripada Muhammad Hafizi Alias, Muhammad Iznol Sallas, Muhammad Syahmi Abid, Muhammad Zarif Ikhwan, Luqman Hakeem, Muhammad Shahzwan, Sufian Poon dan Muhammad Arsyad.

Selain itu PPKI SKBU turut menghantar beberapa orang peserta bagi pertandingan Azan Subuh, Tilawah Al Quran, Hafazan, dan bercerita  Kisah dari Al Quran. 

Tahniah juga diucapkan kepada En Hafsham Rohmat kerana dilantik sebagai ketua hakim bagi pertandingan Khat Jawi. Beliau satu satunya hakim daripada opsyen Pendidikan Khas. Beliau pernah memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Khat Jawi Negeri Melaka anjuran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Umrah


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pengalaman menunaikan Umrah merupakan pengalaman serta detik-detik yang paling indah dan bermakna dalam diri kita. Perjalanan dalam mengerjakan ibadah Umrah untuk mencari keredhaan Ilahi sering diakhiri dengan azam yang mahu kembali semula ke Tanah Suci.

Perjalanan dari Malaysia ke Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa selama 9 jam tidaklah berasa begitu lama. Sama seperti insan yang  lain, perasaan saya bercampur baur untuk pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci selain diselubungi rasa takut, gemuruh dan berdebar-debar. Mungkin perasaan itu hadir disebabkan terlalu banyak membaca dan mendengar kisah-kisah benar individu yang pantas menerima dugaan dan mendapat balasan Allah atas kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan. 

Daripada Lapangan Terbang Jeddah, saya terus ke Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah. Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjidil Haram, terasa sebak dan tak pernah terfikir akan mampu pergi ke sana untuk menjadi tetamu Allah. Alhamdulilah. Umrah juga dipanggil 'Haji Kecil' yang bererti  mengunjungi Kaabah dan melakukan ibadah yang terdiri daripada niat, ihram, tawaf, saie dan bertahallul. Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. 

Niat Ihram hanya boleh dilakukan di Miqat sahaja. Selain berihram, jemaah perlu mengerjakan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Selasai tawaf, saya terus ke belakang Makam Ibrahim yang dikatakan tempat mustajab untuk berdoa. Selesai menunaikan tawaf, diikuti pula dengan saie sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah  kemudian diakhiri dengan bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut sekurang-kurangnya tiga helai bagi menandakan bebas daripada Ihram. Ibadah Umrah yang khusyuk banyak mendekatkan diri kita kepada Pencipta yang mencipta seluruh alam semesta. 

Sembilan hari di Makkah tidak terasa lamanya. Kemudian, saya meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Perjalanan dari Kota Makkah ke Kota Madinah mengambil masa selama 8 jam dengan menaiki bas. Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Madinah mendekatkan diri kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang amat dikasihi dan dicintai. Kota Madinah begitu aman, damai dan tenteram. Tempat mustajab berdoa di Madinah adalah Raudhah. Raudhah letaknya di antara rumah Rasulullah SAW sehingga mimbar. Raudhah juga ditandai dengan hamparan karpet berwarna hijau. Kawasan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan bagi jemaah lelaki dan jemaah wanita. Melawat Raudhah dan memberi salam serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW menginsafkan kita umat baginda yang begitu kerdil sekali.

Apa yang menarik di Makkah dan Madinah adalah apabila tibanya waktu solat, penduduk tempatan akan segera menutup kedainya dan bergegas ke masjid untuk mengerjakan solat secara berjemaah. Semoga kita semua diberi rezeki dan peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Umrah dan Haji. Semoga mendapat Umrah dan Haji yang mabrur. InsyaAllah.


Sunday, June 24, 2012

BILIK GURU PPKI

Ribuan terima kasih diucapkan kepada tuan guru besar kerana telah sudi memberikan bilik guru baharu kepada guru-guru PPKI SK Batu Unjur. Seiring dengan kepesatan pembangunan di sekitar Bandar Bukit Tinggi, PPKI SKBU turut mengalami peningkatan bilangan pelajar dan guru. Kesan peningkatan ini menyebabkan bilik guru sedia ada tidak mampu lagi menampung jumlah guru PPKI yang semakin meningkat. Justeru bilik yang lebih besar dan selesa diperlukan bagi menempatkan guru-guru PPKI. 

Oleh yang demikian, Di atas keperihatinan Guru Besar SK Batu Unjur bilik Matematik yang selama ini terbiar telah dihadiahkan kepada PPKI Untuk dijadikan bilik guru. Bilik yang lebih besar dan selesa ini mampu menampung seramai 32 orang guru. 



Manakala bilik guru lama akan dijadikan stesen bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup/Urus Diri dan bilik bagi Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Usaha menaik taraf bilik Kemahiran Hidup ini sedang dijalankan. Antara usaha tersebut ialah membuat sinki dan meja dapur yang mana kerja-kerja ini telah dibuat secara sukarela oleh guru PPKI sendiri. Diharapkan dengan adanya bilik-bilik ini ianya dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran guru dan murid PPKI SKBU. Pihak pentadbir sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru PPKI.

Hari Guru PPKI

Jamuan guru-guru PPKI SK Batu Unjur telah diadakan pada 13 Jun 2012. Jamuan makan tengahari ini diadakan bersempena sambutan hari guru 2012 peringkat Pendidikan Khas SK Batu Unjur. Jamuan ini diadakan di Waroeng Ayam Penyet, Harbour Place. Guru Besar En. Hud bin Abdul Ghani telah bersama-sama menjayakan majlis tersebut. Majlis ini diadakan agak terlewat dari tarikh sambutan hari guru peringkat kebangsaan iaitu 16 Mei 2012 berikutan pada tarikh tersebut Murid-murid PPKI telah dikecualikan menghadiri sekolah. Jadi bagi meraikan sambutan peringkat PPKI 13 Jun telah dipilih. Walaupun tarikh tersebut agak lewat, namun ianya tidak menjejaskan kemeriahan sambutan. 




Sebelumnya, beberapa acara telah dijalankan bagi sambutan tersebut, antaranya ialah nyanyian lagu Guru Malaysia, persembahan guru, persembahan murid dan acara bertukar hadiah sesama guru.