Monday, September 3, 2012

Sambutan Hari Kemerdekaan


Oleh: Hafsham

Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Sekolah Kebangsaan Batu Unjur telah berlangsung pada 30 Ogos 2012. Sambutan diadakan bertujuan mengingatkan generasi masa kini tentang pentingnya menghargai dan mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi. 
Tahun ini merupakan tahun ke 55 negara Malaysia Mencapai kemerdekaan.Ianya merupakan satu tempoh yang agak lama. Negara kita telah dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Dengan adanya pengorbanan orang terdahulu di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan maka hari ini kita berada dalam keadaan aman, makmur dan selesa.  Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah "Janji Ditepati". Mensyukuri apa yang telah dikecapi dan membalas apa yang telah diberi. 
Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah ini telah sekolah disambut agak meriah. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, ucapan Guru Besar dan ucapan perasmian  oleh En Hafizi Afendy bin Mohd Zain selaku Yang Di Pertua PIBG SK Batu Unjur. Gimik Perasmian telah dilakukan dengan melepaskan beberapa ekor burung daripada sangkar sebagai simbolik kepada kebebasan. Kemudian murid-murid telah menyanyi bersama-sama lagu lagu patriotik.






Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada murid-murid, antaranya deklamasi sajak, koir, boria, persembahan perkusi dan tarian. Persembahan yang diadakan telah menyerlahkan bakat murid-murid. Selepas rehat acara diteruskan dengan pertandingan mewarna. Hadiah pemenang telah disampaikan pada perhimpunan pagi Isnin.

Tuesday, August 14, 2012

Selamat Hari Raya

PPKI SK Batu Unjur mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat bercuti kepada murid-murid, guru,PPM ibubapa serta seluruh warga SK Batu Unjur. Semoga berbahagia di hari raya.

Sumbangan duit raya




Murid- murid PPKI SK Batu Unjur hari ini menerima duit raya daripada guru-guru pendidikan khas sempena hari raya. Terdahulu murid-murid yatim dan miskin menerima sumbangan daripada Badan kebajikan sekolah. Semoga dengan sumbangan kecil ini mampu menggembirakan anak-anak murid kami bagi menyambut hari Lebaran.   

Monday, August 13, 2012

Pelancaran Bulan Kemerdekaan PPKI SKBU 2012


Oleh: Masitah Zakaria


Program Pendidikan Khas Integrasi SKBU telah mengadakan Sambutan Pelancaran Bulan Kemerdekaan yang diadakan di dataran PPKI yang berlangsung pada 3 Ogos yang lalu. Sambutan ini disertai oleh murid-murid pendidikan khas, pembantu pengurusan murid dan semua guru PPKI.Sambutan ini diadakan bertujuan untuk menerap nilai-nilai semangat patriotik di dalam jiwa murid-murid dan menanam sikap cintakan negara Malaysia.

Majlis ini berlangsung pada pukul 8.00 pagi dan dimulai dengan ucapan alu-aluan yang dipengerusikan oleh En. Mohd Ruzaiman bin Abdullah Halim.Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tuan guru besar iaitu En. Hud bin Abdul Ghani. Beliau memberi pesanan kepada murid-murid agar menyayangi negara Malaysia dan bersyukur kerana hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Seterusnya, beliau mendoakan kesejahteraan murid-murid pendidikan khas dan merasmikan majlis pelancaran kemerdekaan. Suasana bulan kemerdekaan lebih meriah lagi  dengan nyanyian 5 buah lagu dimulai lagu Negaraku, 1 Malaysia, Jalur Gemilang, Malaysia Berjaya, Tanggal 31 dan 1 Malaysia.

Semua guru, PPM dan murid menyanyikan lagu dengan penuh bersemangat dan berjiwa patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Lagu yang dinyanyikan bertujuan untuk mewujudkan rasa bangga dalam diri murid-murid menjadi rakyat Malaysia dan mengetahui bahawa Malaysia sudah mencapai kemerdekaan yang 55 pada tahun ini. Setelah nyanyian lagu patriotik dinyanyikan, maka berakhirlah majlis perasmian bulan kemerdekaan. Aktiviti yang terakhir ialah senamrobik yang dibimbing oleh Pn. Rofida bt Abu Bakar, Pn. Nora bt Nordin dan Pn. Norazilah binti Abdull Latif. Aktiviti ini dapat menyihatkan tubuh badan selain mengeratkan silaturahim antara murid- murid pendidikan khas dan juga guru. Sambutan bulan kemerdekaan ini tamat pada pukul 8.30 pagi dan semua guru bersurai masuk ke kelas masing-masing.

Wednesday, August 8, 2012

Sumbangan SMPKV

Oleh: Rohaslida Omar

Pada 31 Julai  yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Kebangsaan Batu Unjur (SKBU) telah menerima sumbangan barang-barang terpakai daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Seksyen 17, Shah Alam. Kerjasama yang amat menggalakkan dan membanggakan telah diberikan oleh Pegawai Aset SMPKV iaitu Puan Nadiah binti Shafie dan guru-guru SMPKV khasnya guru-guru daripada Bengkel Jahitan dan Kursus Juru Bina Bangunan dan Kursus Pembuat Perabot.


Barang-barang yang disumbangkan berupa barangan perabot dan peralatan elektrik seperti kerusi beroda tanpa lengan, meja kerja lukis pelan, stepping, simen fero, kerusi kuliah dan mesin jahit. Diharap barangan yang disumbangkan dapat memperkasakan lagi PPKI SKBU dan membantu murid-murid di dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.
Jutaan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada Pengetua dan guru-guru SMPKV, pelajar-pelajar Kursus Juru Bina Bangunan & Pembuat Perabot dan guru-guru Kursus Juru Bina Bangunan, Pembuat Perabot dan Pembuat Pakaian Wanita. 

Penyampaian cenderahati kepada wakil Pengetua SMPKV iaitu Guru Penolong Kanan Ko Kurilulum, Encik Abu Talib bin Mat Top.

Tuesday, July 24, 2012

Laman PPKI Didada Majalah.

Tahniah PPKI SK Batu Unjur kerana Menghiasi majalah Bintang Kecil dalam slot Skoolista keluaran 15 Julai 2012.

Sunday, July 22, 2012

Minggu Pendidikan Islam

Oleh: Samsiah Jamaludin

 Program KEM BESTARI SOLAT PPKI 2012 telah dilaksanakan pada hari Rabu, 11 Julai 2012. Pelajar beragama Islam berkumpul di dataran terbuka bersama guru-guru yang terlibat. Semua murid yang beragama Islam dibimbing oleh guru-guru yang telah dilantik untuk mengendalikan program ini mengikut kebolehupayaan murid tersebut.

Pengisian program disusun mengikut tahap penguasaan dan kebolehan murid-murid berpendidikan khas ini. Berikut adalah pengisian yang dibuat mengikut tahap keupayaan murid-murid tersebut.

Murid -murid dipertontonkan dengan kisah nabi-nabi dan kisah-kisah  tauladan versi kartun untuk menarik minat mereka. Selain itu, diadakan aktiviti mewarna gambar dan seterusnya murid-murid dibawa oleh guru-guru mengelilingi sekolah. Ia bertujuan untuk memperlihatkan kepada mereka akan benda hidup ciptaan Allah dan benda bukan hidup ciptaan manusia.

Aktiviti lain yang dilaksanakan adalah seperti bacaan yassin dan tahlil serta solat dhuha beramai-ramai. Kemudian murid juga diajar dan diberi bimbingan tentang amali solat iaitu amali  wuduk dan amali solat oleh guru-guru.

Kem Bestari Solat adalah sebahagian daripada program jQAF yang dilaksanakann di Program Pendidikan Khas Integrasi. Diharap pelaksanaan program ini di Kelas pendidikan Khas akan memberi kesan positif kepada murid-murid berkeperluan khas dalam meningkatkan pengetahuan mereka tentang perintah Allah dan RasulNya.