Monday, April 16, 2012

PETANQUE

PPKI SK Batu Unjur sedang menjalani latihan petanque bagi menghadapi Kejohanan Petanque Pendidikan Khas, Daerah Klang. Seramai 4 orang murid telah terpilih bagi mewakili SK Batu Unjur bagi kejohanan tersebut. Team Petanque ini telah dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Cik Rohaslida Omar dan Pn. Masitah Zakaria. 
Kejohanan Petanque Pendidikan Khas akan diadakan pada 24 April 2012, bertempat di SMK Sungai Kapar Indah. Kejohanan satu hari ini akan menghimpunkan jaguh-jaguh petanque dari sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Klang yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi. Semoga Team Petanque SKBU mecapai kejayaan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.



Friday, April 6, 2012

Minggu Panitia Sains

Oleh: Jamiah Tamat


Pada minggu kesebelas sesi persekolahan 2012, Panitia Sains Sosial dan Alam Sekitar telah menjalankan Minggu Panitia Sains yang disertai oleh murid-murid Pendidikan Khas. Program ini bermula pada 4 hingga 6 April 2012. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan melibatkan kerjasama, disiplin, kreativiti dan kekemasan hasil kerja murid. Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan utama dan dibimbing oleh guru-guru Pendidikan Khas.


Aktiviti pertama yang dijalankan adalah menghasilkan layang-layang dari lidi dan juga kertas surat khabar. Objektif utama aktiviti ini adalah supaya murid dapat mengecam keadaan cuaca semasa di samping memberi peluang kepada murid memahami konsep permainan layang-layang iaitu ia dimainkan ketika panas dan berangin.

Seterusnya adalah aktiviti mengenal benda hidup dan benda bukan hidup. Bagi aktiviti ini, murid perlu melukis atau menampal gambar benda hidup dan benda bukan hidup mengikut kreativiti masing-masing. Di sini murid dapat mempamerkan keupayaan murid dalam mengecam benda-benda di sekeliling mereka.


Keupayaan murid terus diuji dengan aktiviti mencipta telefon ringkas dari tin dan juga tali tangsi. Murid perlu menghasilkan telefon ringkas yang boleh berfungsi melalui getaran objek. Objektif utama aktiviti ini adalah mengenalpasti keupayaan murid menggunakan deria dengar, deria lihat, deria bau dan deria rasa. Setiap kumpulan perlu dibahagi kepada 2 kumpulan kecil. Telefon ringkas ini adalah sebagai penghubung bagi setiap soalan dan jawapan yang diajukan.



Seterusnya adalah aktiviti kolaj iaitu menggunting dan menampal bentuk pelbagai warna bagi menghasilkan objek bergambar yang berkaitan dengan dunia sains. Di sini, murid dapat  mengecam kepelbagaian jenis warna dan bentuk serta mencetuskan idea bagi menghasilkan gambar yang bersesuaian dengan tema aktiviti.



Lawatan ke Melaka

Program Lawatan Sambil Belajar ke Negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau

Oleh: Rohaslida Omar
 

Pada 28 dan 29 Mac 2012 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi SK Batu Unjur  telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau. Lawatan ini disertai oleh 26 orang murid, 15 orang guru pengiring dan 2 orang ibubapa. Program ini telah dikelolakan oleh Cik Suraiya binti Aziz dan dibantu oleh En Saiful Azam Khoo bin Abdullah.
Program lawatan ini adalah bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman murid di samping mendedahkan mereka kepada persekitaran luar. Mereka juga perlu dilatih agar dapat berdikari, berdisiplin, bekerjasama dan yakin kepada diri sendiri semasa aktiviti ini dijalankan.  
Pada hari pertama, murid-murid berpeluang melihat berbagai jenis binatang di Zoo Melaka yang terletak di Ayer Keroh. Di sana juga mereka dapat melihat pertunjukan gajah yang dikendalikan oleh pekerja zoo yang berpengalaman. Penerokaan murid di Planetarium Melaka membuka minda murid-murid mengenai alam cakerawala dan dunia sains yang belum pernah mereka lihat sebelum ini. Mereka juga telah disajikan dengan tayangan video berkenaan cakerawala.
Selepas itu, kami bertolak ke tempat penginapan di Hotel Mesra Mutiara, di Bandar Hilir. Pada malam harinya, kami berpeluang menyusuri sungai Melaka dan menikmati permandangan Bandar Melaka sambil menaiki ‘River Cruise’.
Pada hari kedua, murid-murid dapat melihat dan menghayati peninggalan sejarah bangsa Belanda dan Portugis yang pernah menjajah negeri Melaka. Antaranya termasuklah Bangunan Stadhuys, St Paul dan Kota A Famosa. Selepas itu, kami melawat Muzium Kastam dan Muzium Samudera yang terletak bersebelahan Kota A Famosa. Di sini murid-murid dapat melihat peninggalan penjajah dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, mereka juga dapat mengetahui sejarah Jabatan di Negeri Melaka. Destinasi terakhir yang dilawati iaitu Menara Taming Sari telah memberi peluang kepada murid-murid untuk menikmati keindahan panorama negeri Melaka secara keseluruhannya. Sebelum kami bertolak pulang, murid-murid berpeluang membeli belah di Baazar.
Penyertaan murid secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti sekolah atau di luar bilik darjah merupakan intipati dalam dunia pendidikan khas yang perlu didedahkan kepada semua murid yang berkeperluan khas. Sehubungan dengan itu, Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau  dirangka bagi memastikan objektif yang disarankan tercapai. Ianya merupakan titik tolak bagi melahirkan murid yang berupaya berdikari, mampu merancang dan seterusnya menguruskan kehidupan seharian di masa akan datang.

                                                                                                                                                         



Monday, March 26, 2012

Pertandingan Boling PPKI Daerah Klang.





Persatuan Pendidikan Khas Daerah Klang dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Klang telah mengadakan Pertandingan Boling PPKI pada 1 Mac yang lalu. Pertandingan ini telah diadakan di Pusat Boling Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat pelajar-pelajar dan guru-guru Pendidikan Khas di daerah Klang dalam sukan Boling. 
Beberapa kategori telah dipertandingkan diantaranya Individu terbaik (lelaki), Individu Terbaik (perempuan), Individu Terbaik (guru) dan Berkumpulan Terbaik. Pertandingan bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada 2.30 petang. 
PPKI SK Batu Unjur yang di ketuai oleh En. Hafsham b. Rohmat selaku pengurus pasukan telah menghantar 6 orang peserta bagi menyertai pertandingan tersebut. PPKI SK Batu Unjur telah diwakili oleh dua orang guru iaitu En. Saiful Azam Khoo b. Abdullah dan Cik Nadzatul Nadia bt Rofie. Manakala kategori murid diwakili oleh Muhamad Hafizi b. Alias, Muhamad Iznol Sallas b. Saad, Hannah Maisarah bt. Syamsul Bahri dan Izzah Athirah bt Sazali. 
Hafizi mendapat tempat pertama dalam kategori individu lelaki.
Muhamad Hafizi b. Alias telah merangkul tempat pertama bagi kategori Individu Terbaik (lelaki). Manakala Muhammad Iznol Sallas Mendapat tempat ke-4 bagi kategori yang sama. En. Saiful Azam pula mendapat tempat ke 4 bagi kategori guru.
Diharapkan pertandingan seumpama ini dapat memberi pendedahan dan mengetengahkan bakat yang dimiliki oleh murid berkeperluan khas.

Saturday, March 24, 2012

Minggu Bahasa Melayu 2012

Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam akta pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras disemua sekolah rendah dan menengah. Pendidikan bahasa Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Bagi merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Khas dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis juga selaras dengan matlamat kurikulum Bahasa Melayu di sekolah rendah yakni melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan komunikasi bagi memenuhi keperluan diri dalam urusan harian, pendidikan dan pekerjaan, maka Panitia Bahasa Melayu, Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Batu Unjur telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu 2012.

Program ini telah diadakan pada 21 hingga 24 Februari yang lalu. Program selama empat hari ini bertemakan "Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ibunda". Matlamat program ini adalah membimbing dan mempertingkat pengetahuan tentang aspek budaya sesuatu bahasa terutama dari segi kesantunan dan kepersisan bahasa juaga menjadi penanda aras bagi menilai kemampuan dan pemahaman murid dalam penguasaan Bahasa Melayu.

Objektif program ini adalah:
Untuk meningkatkan kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu bagi Melancarkan kemahiran bersosial.
Memberi pendedahan dan peluang kepada murid pendidikan Khas untuk menunjukkan kemampuan serta bakat dalam setiap aktiviti yang dirancang.
Melahirkan individu yang menghayati dan mengamalkan nilai murni sikap positif dan semangat Patriotik bertunjangkan Bahasa Melayu. Menyemai sikap berdaya saing dan yakin diri yang tinggi dalam diri setiap murid Pendidikan Khas.

Di antara aktiviti yang dijalankan ialah teka silang kata, menyurih huruf kecil explorace dan lain- lain. Aktiviti explorace ini dapat memupuk semangat kerjasama dikalangan murid di mana  murid bersama-sama menyelesaikan tugasan yang diberi.

Thursday, February 23, 2012

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas.

Pada 13 Februari yang lalu telah diadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan bagi Pengawas-pengawas, Pembimbing Rakan Sebaya serta ketua dan penolong ketua kelas Sekolah Kebangsaan Batu Unjur. Majlis ini merupakan simbolik penyerahan tanggungjawab kepada pelajar-pelajar yang terpilih sebagai pemimpin pelajar. Seramai 58 orang murid telah dilantik sebagai Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas SPBT dan Pembimbing Rakan Sebaya, 9 daripadanya merupakan pengawas Pendidikan Khas, manakala 24 orang murid merupakan ketua dan penolong ketua kelas. Majlis penyampaian watikah ini telah disempurnakan oleh Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, En. Hafizi Affendi bin Mohd Zain.

Majlis yang berlangsung di Dataran Seri Nilam ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Damanhuri. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada tuan guru besar En. Hud Bin Abd. Ghani. YDP PIBG En. Hafizi Affendi bin Mohd Zain telah meyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas 2012. Sejurus majlis perasmian, En. Hafizi Efendy telah meyampaikan watikah kepada pengawas serta ketua dan penolong ketua kelas. Bagi melengkapkan majlis pelantikan ini, bacaan ikrar telah dijalankan dan diketuai oleh adik Imran bin Azman. Majlis diteruskan dengan ceramah Motivasi oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang.

Disediakan oleh Basri Mohamed

Friday, February 10, 2012

PMD 2012

Program Maju Diri 2012(PPKI SK Batu Unjur)

Program Maju Diri (PMD) PPKI Sekolah Kebangsaan Batu Unjur  telah berlangsung dengan jayanya pada 1 hingga 3 Februari yang lalu. Program yang dianjurkan oleh unit Hal Ehwal Murid ini bertujuan mendedahkan murid kepada persekitaran sekolah di samping membentuk kecintaan dan tanggungjawab murid terhadap sekolah, guru dan rakan. Program yang dijalankan selama tiga hari ini merupakan aktiviti tahunan yang telah dijalankan sejak tahun 2011.
Program dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan taklimat program oleh ketua Unit HEM PPKI Pn. Neelaambigai A/P Devaisundram. Murid  dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh beberapa orang guru. Pada hari pertama program dimulakan dengan senamrobik. Slot ini dikendalikan oleh Pn. Norharmimi Binti Ibrahim. Dalam slot yang pertama ini semua murid dan guru berkumpul di dataran untuk melakukan aktiviti senamrobik.  Aktiviti ini telah berjalan dengan lancar.
Seterusnya, Program Maju Diri ini  diteruskan dengan slot Ice-breaking di mana murid dan guru telah dibahagikan kepada 4 kumpulan.  Bagi aktiviti ini, setiap kumpulan diminta menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Setiap kumpulan diberikan masa selama sejam untuk menyiapkan tugasan.  Aktiviti ini berakhir dengan terciptanya kumpulan The Sun, Harimau Malaya, Phoenix dan Ombak Rindu.
Selepas berehat selama setengah jam, slot Sekolah Penyayang dilaksanakan.  Di mana setiap kumpulan ditugaskan untuk melawat pejabat sekolah, bilik guru, bilik pendidikan seni dan juga pusat sumber sekolah. Semasa di  pusat sumber, setiap kumpulan diminta untuk  memilih  satu buku cerita untuk dibaca dan mendapatkan 10 nilai murni di dalam buku tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid membaca dan memahami bahan yang dibaca serta menerapkan nilai murni yang hasil dari bahan bacaan tersebut.
Slot terakhir bagi hari yang pertama iaitu pembentangan hasil kerja dan tugasan yang diberikan kepada setiap kumpulan.  Slot ini dikendalikan oleh Cik Jamiah Tamat sebagai pengacara majlis.  Setiap kumpulan diminta membentangkan hasil kerja untuk Ice-breaking iaitu menamakan kumpulan, mencipta logo dan mencipta sorak kumpulan. Melalui kreativiti setiap kumpulan, 4 logo yang menarik telah dicipta. Kemeriahan turut dirasai sewaktu setiap kumpulan membuat sorak kumpulan masing-masing.
Pada hari kedua, aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan bersama oleh Pn Norharmimi dan rakan-rakan. Slot seterusnya dijalankan satu jam selepas senamrobik di mana Pn. Aminah binti Sabtu Guru Bimbingan SK Batu Unjur telah diundang untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta program. Di Dalam ceramahnya , murid diingatkan agar menjaga kebersihan serta menyayangi diri dan guru-guru. Peserta menunjukkan respon yang sangat baik. Di dalam ceramahnya juga, beliau turut memberikan soalan kuiz dan memberi hadiah kepada peserta yang berjaya menjawab soalan dengan betul.
Murid bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberi.
Selepas rehat aktiviti diteruskan dengan LDK 3 yang bertajuk minda kreatif. Di dalam slot ini peserta ditugaskan menghasilkan inovasi daripada bahan terbuang yang disediakan. Peserta telah bekerjasama dalam menghasilkan tugasan yang diberi. Slot terakhir pada hari kedua ini ialah peserta diminta membentangkan hasil kerja daripada LDK 3.
Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh En. Saiful Azam dan rakan-rakan. Aktiviti seterusnya adalah gotong royang. Peserta telah dibahagi kepada beberapa kumpulan mengikut tahap keupayaan mereka. Kumpulan pertama ditugaskan  mengecat tandas, kumpulan kedua mengecat lantai di dataran PPKI. Manakala selebihnya di tempatkan di kebun Kemahiran Hidup.
Tuan guru besar menyampaikan ucapan kepada murid
Majlis perasmian penutup program telah dijalankan sebaik sahaja selesai aktiviti gotong-royong. Tuan guru besar En. Hud bin Abd. Ghani telah dijemput menyempurnakan majlis penutup PMD 2012. Di dalam ucapannya beliau mengingatkan murid supaya menjadi murid yang baik dan pandai. Untuk mencapai maksud tersebut murid mestilah selalu datang ke sekolah dan belajar. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya memenangi setiap kategori yang dipertandingkan.