Tuesday, May 29, 2012

Tahniah

Klang A
Klang B
Bola Jaring
 
Belum terlambat PPKI SKBU mengucapkan tahniah kepada guru-guru PPKI SK Batu Unjur yang mewakili Daerah Klang dalam futsal dan bola jaring di Karnival Futsal & Bola Jaring Guru-Guru Pendidikan Khas Negeri Selangor 2012. Karnival telah berlangsung pada 19 Mei 2012 bertempat di The Real Futsal Arena, Telok Gadung. Daerah Klang telah menjadi naib johan dalam kedua-dua acara tersebut. Tahniah kepada En. Saiful Azam Khoo Abdullah, En. Hafsham Rohmat yang mewakili futsal Klang A dan Klang B. Tahniah juga kepada Cik Suraiya Aziz dan Pn Hasmini Mokhtar yang mewakili bola jaring.  

Cuti....

Cuti pertengahan penggal telah bermula mulai 25 Mei sehingga 9 Jun 2012. Kami mengucapkan selamat bercuti kepada pelajar-pelajar dan guru-guru PPKI Daerah Klang.

Sunday, May 27, 2012

Sambutan Hari Guru


Oleh : Jamiah Tamat

Sambutan Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun. Sambutan Hari Guru adalah bertujuan untuk meraikan guru-guru di Malaysia atas sumbangan serta pengorbanan yang dicurahkan kepada agama, bangsa dan negara. Tema hari guru pada tahun ini "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" seiring dengan aspirasi negara dalam mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu  meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah oleh semua warga SK Batu Unjur. Seterusnya ucapan oleh guru besar SK Batu Unjur, En. Hud bin Abdul Ghani serta perutusan oleh Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin bin Yassin. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh guru penolong kanan hal ehwal murid iaitu En. Ahmad Ubaidillah bin Hairon serta membaca perutusan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia iaitu Dato' Sri Abd Ghafar bin Mahmud.

Setelah perutusan dibacakan, guru-guru Sk Batu Unjur bersama menyanyikan lagu Hari Guru serta membaca ikrar hari guru. Sambutan hari guru peringkat sekolah pada tahun disambut sederhana tetapi meriah. 

Setelah selesai nyanyian dan ikrar guru, warga SKBU telah dihiburkan dengan persembahan daripada murid dan guru. Persembahan dimulakan dengan tarian 1 Malaysia yang dipersembahkan oleh murid Prasekolah. Murid PPKI tidak ketinggalan menghiburkan warga SKBU dengan tarian arab. Persembahan tersebut telah dipimpin oleh Pn. Hasmini Mokhtar dan Pn Salmee Suhana Md. Yusof. Persembahan telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Sambutan Hari Guru tahun ini telah menerima tetamu istimewa iaitu anak kepada seorang guru PPKI Pn. Wirawati Ong Abdullah yang telah sudi menyumbangkan nyanyian lagu khusus untuk warga pendidik. Tidak ketinggalan juga Tuan Guru Besar turut menghiburkan tetamu dengan mendeklamasikan puisi bertajuk "Pada Bahu Ini".

Sesungguhnya sambutan hari guru sangat memberi makna kepada setiap warga pendidik dan ianya merupakan tanda penghargaan atas pengorbanan yang telah dicurahkan kepada anak bangsa.

Khidmat Bantu Sekolah Teknik Klang di PPKI SK Batu Unjur.


Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Batu Unjur (PPKI SKBU) telah mengadakan kerjasama bersama pelajar Binaan Bangunan Sekolah Menengah Teknik Klang bagi menaik taraf Taman PPKI SK Batu Unjur. Kerjasama yang julung kali diadakan bertujuan menjalin hubungan antara dua sekolah yang berjiran. PPKI SKBU telah diketuai oleh ketua panitia kemahiran hidup En Azri bin Bahari. Manakala Sekolah Teknik Klang diketuai oleh guru Binaan Bangunan En Rosli bin Hussin.
Kerjasama ini melibatkan kerja-kerja membina tapak menanam bunga, membina Pagola, membina laluan refleksologi dan kerja-kerja lanskap. Progam jalinan kerjasama ini diadakan selama dua hari iaitu pada 26 dan 26 April 2012. Program yang julung kali diadakan ini merupakan rintis kepada kerjasama yang lebih erat di antara PPKI SKBU dan pihak luar. Semoga usaha ini dapat diteruskan kerana ia memberi kabaikan dan keuntungan kepada banyak pihak. 

Monday, April 16, 2012

PETANQUE

PPKI SK Batu Unjur sedang menjalani latihan petanque bagi menghadapi Kejohanan Petanque Pendidikan Khas, Daerah Klang. Seramai 4 orang murid telah terpilih bagi mewakili SK Batu Unjur bagi kejohanan tersebut. Team Petanque ini telah dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Cik Rohaslida Omar dan Pn. Masitah Zakaria. 
Kejohanan Petanque Pendidikan Khas akan diadakan pada 24 April 2012, bertempat di SMK Sungai Kapar Indah. Kejohanan satu hari ini akan menghimpunkan jaguh-jaguh petanque dari sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Klang yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi. Semoga Team Petanque SKBU mecapai kejayaan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.



Friday, April 6, 2012

Minggu Panitia Sains

Oleh: Jamiah Tamat


Pada minggu kesebelas sesi persekolahan 2012, Panitia Sains Sosial dan Alam Sekitar telah menjalankan Minggu Panitia Sains yang disertai oleh murid-murid Pendidikan Khas. Program ini bermula pada 4 hingga 6 April 2012. Beberapa aktiviti telah dilaksanakan melibatkan kerjasama, disiplin, kreativiti dan kekemasan hasil kerja murid. Murid dibahagikan kepada 4 kumpulan utama dan dibimbing oleh guru-guru Pendidikan Khas.


Aktiviti pertama yang dijalankan adalah menghasilkan layang-layang dari lidi dan juga kertas surat khabar. Objektif utama aktiviti ini adalah supaya murid dapat mengecam keadaan cuaca semasa di samping memberi peluang kepada murid memahami konsep permainan layang-layang iaitu ia dimainkan ketika panas dan berangin.

Seterusnya adalah aktiviti mengenal benda hidup dan benda bukan hidup. Bagi aktiviti ini, murid perlu melukis atau menampal gambar benda hidup dan benda bukan hidup mengikut kreativiti masing-masing. Di sini murid dapat mempamerkan keupayaan murid dalam mengecam benda-benda di sekeliling mereka.


Keupayaan murid terus diuji dengan aktiviti mencipta telefon ringkas dari tin dan juga tali tangsi. Murid perlu menghasilkan telefon ringkas yang boleh berfungsi melalui getaran objek. Objektif utama aktiviti ini adalah mengenalpasti keupayaan murid menggunakan deria dengar, deria lihat, deria bau dan deria rasa. Setiap kumpulan perlu dibahagi kepada 2 kumpulan kecil. Telefon ringkas ini adalah sebagai penghubung bagi setiap soalan dan jawapan yang diajukan.



Seterusnya adalah aktiviti kolaj iaitu menggunting dan menampal bentuk pelbagai warna bagi menghasilkan objek bergambar yang berkaitan dengan dunia sains. Di sini, murid dapat  mengecam kepelbagaian jenis warna dan bentuk serta mencetuskan idea bagi menghasilkan gambar yang bersesuaian dengan tema aktiviti.



Lawatan ke Melaka

Program Lawatan Sambil Belajar ke Negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau

Oleh: Rohaslida Omar
 

Pada 28 dan 29 Mac 2012 yang lalu, Program Pendidikan Khas Integrasi SK Batu Unjur  telah mengadakan Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau. Lawatan ini disertai oleh 26 orang murid, 15 orang guru pengiring dan 2 orang ibubapa. Program ini telah dikelolakan oleh Cik Suraiya binti Aziz dan dibantu oleh En Saiful Azam Khoo bin Abdullah.
Program lawatan ini adalah bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman murid di samping mendedahkan mereka kepada persekitaran luar. Mereka juga perlu dilatih agar dapat berdikari, berdisiplin, bekerjasama dan yakin kepada diri sendiri semasa aktiviti ini dijalankan.  
Pada hari pertama, murid-murid berpeluang melihat berbagai jenis binatang di Zoo Melaka yang terletak di Ayer Keroh. Di sana juga mereka dapat melihat pertunjukan gajah yang dikendalikan oleh pekerja zoo yang berpengalaman. Penerokaan murid di Planetarium Melaka membuka minda murid-murid mengenai alam cakerawala dan dunia sains yang belum pernah mereka lihat sebelum ini. Mereka juga telah disajikan dengan tayangan video berkenaan cakerawala.
Selepas itu, kami bertolak ke tempat penginapan di Hotel Mesra Mutiara, di Bandar Hilir. Pada malam harinya, kami berpeluang menyusuri sungai Melaka dan menikmati permandangan Bandar Melaka sambil menaiki ‘River Cruise’.
Pada hari kedua, murid-murid dapat melihat dan menghayati peninggalan sejarah bangsa Belanda dan Portugis yang pernah menjajah negeri Melaka. Antaranya termasuklah Bangunan Stadhuys, St Paul dan Kota A Famosa. Selepas itu, kami melawat Muzium Kastam dan Muzium Samudera yang terletak bersebelahan Kota A Famosa. Di sini murid-murid dapat melihat peninggalan penjajah dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Di samping itu, mereka juga dapat mengetahui sejarah Jabatan di Negeri Melaka. Destinasi terakhir yang dilawati iaitu Menara Taming Sari telah memberi peluang kepada murid-murid untuk menikmati keindahan panorama negeri Melaka secara keseluruhannya. Sebelum kami bertolak pulang, murid-murid berpeluang membeli belah di Baazar.
Penyertaan murid secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti sekolah atau di luar bilik darjah merupakan intipati dalam dunia pendidikan khas yang perlu didedahkan kepada semua murid yang berkeperluan khas. Sehubungan dengan itu, Program Lawatan Sambil Belajar ke negeri Melaka Bandaraya Berteknologi Hijau  dirangka bagi memastikan objektif yang disarankan tercapai. Ianya merupakan titik tolak bagi melahirkan murid yang berupaya berdikari, mampu merancang dan seterusnya menguruskan kehidupan seharian di masa akan datang.